Muzium Islam Kelantan, Muzium Wau dan Rumah Tiang 12

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA 


Muzium Islam Kelantan, Muzium Wau dan Rumah Tiang 12 | Jom kita sambung lagi tempat yang sempat kakak kunjungi semasa Program Ihya Ramadan 2022. Kali ni kakak nak bawak korang ke Muzium Islam Kelantan, Muzium Wau dan juga Rumah Tiang 12.



Muzium Islam Kelantan



Bangunan Muzium Islam ini pada asalnya adalah rumah kediaman bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Encik Hassan Bin Mohd Salleh (Dato Menteri 1895-1990). Terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu bersebelahan dengan Masjid Muhammadi, Padang Merdeka dan Muzium Perang (Bank Kerapu). Bangunan Muzium Islam Kelantan dibina pada tahun 1902 bercirikan rumah Melayu Kelantan sekitar penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada tahun 1917, bangunan ini telah dijadikan sebagai pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sehingga tahun 1990.


Tapi sekarang ni, bangunan ini telah dijadikan galeri Muzium Islam yang telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada tahun 11 November 1991. Terdapat macam-macam koleksi pameran yang terdapat disini, antaranya artifak, gambar-gambar, rajah-rajah yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam ke Kelantan-Nusantara, tokoh-tokoh agama Islam, Jabatan Agama, Majlis Agama Islam Kelantan dan berbagai koleksi dari Negara-Negara Islam. Dianggarkan lebih kurang 350 koleksi yang dipamerkan disini.





Selain itu, di tingkat 1 Muzium Islam juga mempamerkan biografi serta pelbagai koleksi peribadi tokoh negeri Kelantan iaitu Allahyarham Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik. Seperti yang semua sedia maklum, Tuan Guru Haji Nik merupakan salah seorang tokoh negeri Kelantan yang sangat dikagumi oleh masyarakat. Perjuangan beliau dalam bidang politik masih diingati sehingga ke hari ini.




Di sini juga terdapat beberapa lagi koleksi pameran dan replika mumia dan kerandanya. 





Muzium Wau


Muzium yang merupakan Muzium Wau pertama di Negeri Kelantan ini telah sekitar pertengahan tahun 2010 dan terletak di Pantai Sri Tujoh, Tumpat. Muzium ini berhampiran dengan tapak pesta Wau Antarabangsa Kelantan. Muzium Wau ini telah dibuka secara rasmi pada 08 Jun 2011 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, YB Dato' Haji Takiyuddin Bin Haji Hassan.




Tujuan pembinaan Muzium Wau ini adalah untuk dijadikan pusat rujukan dan maklumat mengenai sejarah perkembangan dan seni kraftangan wau seluruh dunia. Kalau korang nak tau mengenai Wau, korang boleh berkunjung ke sini. Kakak sendiri pun baru tau yang sebenarnya wau ini ada pelbagai jenis dan bentuk mengikut negeri. Selama ni duk tau Wau Bulan je dan kakak beranggapan semua wau adalah sama. Rupanya ada Wau Kucing, Wau Jala Budi dan sebagainya. Selain wau-wau tempatan, disini juga mempamerkan beberapa jenis wau dari luar negara seperti Jepun, Thailand, Korea, Australia dan banyak lagi.



 
Kakak difahamkan, selain daripada pameran, Muzium Wau juga turut mengadaan pelbagai aktiviti. pengunjung boleh merasai pengalaman membuat wau sendiri tau. Tapi kalau nak adakan aktiviti tersebut, korang perlu membuat permohonan terlebih dahulu dan barulah bengkel ini dapat diadakan.


Muzium ni memang tak berapa besar, tapi kalau korang nak dedahkan kepada anak-anak mengenai salah satu tradisi yang terdapat di Negeri Kelantan, bolehlah ke Muzium Wau! Mesti anak-anak terpegun melihat antara koleksi wau yang terdapat disini.




Bayaran Masuk untuk Muzium Islam Kelantan dan Muzium Wau :


RM2 - Dewasa
RM1 -  Kanak-Kanak.
RM 4 - Pengunjung Antarabangsa Dewasa
RM 2 - Pengunjung Antarabangsa Kanak-Kanak


Waktu Operasi :

Hari : Ahad - Khamis (Tutup setiap Jumaat & Sabtu)
Masa : 8.30 pagi hingga 4.45 petang


Rumah Tiang 12


Selain Muzium, korang boleh berkunjung ke Rumah Tiang 12 yang terletak di Kampung Dusun Muda. Rumah Tiang 12 ini dipercayai dibina sekitar tahun 1870. Pada asalnya rumah ini terletak di Kampung Jalan Atas Paloh sebelum dipindahkan ke tempat sekarang. Kakak difahamkan rumah ini masih mengekalkan 80 peratus struktur asal. Menurut pemilik/penjaga Rumah Tiang 12, Encik Hj. Johan Ariff Ismail pemilik asal rumah ini sudah menjangkau sehingga ke 5 generasi dan genarasi yang kelima, Haji Abdul Kadir telah mengamanahkan kepada beliau untuk menjaga Rumah Tiang 12.



Sedikit info mengenai Rumah Tiang 12

Rumah jenis ini mengandungi 12 tiang utama pada rumah ibu, 6 tiang serambi dan 6 tiang panjang. Bumbungnya panjang di mana pada tepi sudut dindingnya dipasang dengan tabir layar. Pada pinggir tabir layarnya terdapat papan pemeleh atau tumpu kasau iaitu sepasang pemeleh ibu dan sepasang pemeleh serambi.

Rumah Tiang 12 yang asli terdapat 3 unit bangunan iaitu bangunan Rumah Ibu yang mengandungi ruang selasar, Rumah Tengah dan Rumah Dapur. Bangunan rumah tengah dan rumah dapur bebilik atau bersekat. Rumah tradisional juga menggunakan teknologi Alam Melayu yang tersendiri yang dikenali sebagai tanggam dan pasak selain itu ia juga kurang menggunakan paku besi untuk menjaga keutuhan kayu daripada mereput. Hakisan dari paku berkarat akan mempercepatkan reputan kayu dan mengurangkan ketahana rumah.

Selain itu, atap yang membentuk bumbung juga dibuat khas daripada tanah liat yang dikenali sebagai atap singgora yang berwarna merah bata. Pembinaan rumah tradisional dari atap hinggalah kepada tungku alas tiang rumah merupakan hasil kraftangan masyarakat yang kini penggiatnya sudah sukar dicari. Pembinaan rumah tradisional juga memakan kos yang teramat besar hingga ramai tidak mampu untuk membinanya kerana pembuatan rumah tersebut adalah begitu eksklusif dan mahal.





Rumah Tiang 12 ini sangat unik. Hiasan luaran dan dalamannya juga bercirikan kemelayuan dan klasik. Masa berada kat situ, memang rasa macam duduk kat rumah zaman-zaman dulu. legkap dengan betuk di tangga, pintu pagar kayu dan beranda di tingkat atas. Kagum bila tengok seni pembuatan dan pembinaan rumah pada zaman dahulu. Setiap ukiran rumah sangat halus dan terperinci. Kadang terfikir, macam mana ek orang zaman dahulu boleh buat rumah tanpa ada peralatan-peralatan canggih macam sekarang?




Korang mesti terasa nak mengunjungi sendiri Rumah Tiang 12 kan? Untuk pengetahuan korang, Rumah Tiang 12 tidak dibukak kepada umum. Sekiranya korang berniat untuk mengunjungi dan merasai pengalaman berada disini korang boleh menghubungi :

Encik Muhammad Farhan di talian : +60 11-5665 3661

Ataupun bagi yang ingin membuat lawatan untuk tetamu-tetamu Kehormat, Ketua Jabatan ataupun Kementerian boleh menghubungi sendiri :

Encik Hj. Johan Ariff di talian :  +60 13 919 7771
Email : jodigimarc@gmail.com.



Tiada ulasan