Intro | Ihya Ramadan Kelantan 2022

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA 


Intro | Ihya Ramadan Kelantan 2022 | Baru-baru ni kakak mengikuti Program Ihya Ramadan Kelantan 2022 anjuran Tourism Malaysia Wilayah Timur. Ramai yang kata, bulan Ramadan kat Negeri Kelantan ni selalunya lebih meriah. Jadi, bila dah dapat peluang menyertai program ni, kakak memang teruja sangat. Sebelum kakak cerita dengan lebih lanjut dalam entri selanjutnya, meh kakak intro dulu serba sedikit mengenai program dan tempat lawatan.



Seramai 10 orang peserta telah menyertai Ihya Ramadan 2022. Program ini memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri suasana Ramadan di negeri yang mendapat jolokan "Serambi Mekah". Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan yang berunsurkan islamik dan kerohanian. Disamping tu, kami juga dibawa ke beberapa destinasi yang sememangnya terkenal di Negeri Kelantan.


Program Ihya Ramadan yang diadakan selama 4 hari 3 malam ni memang sarat dengan pelbagai aktiviti lawatan. Antara yang paling menarik ialah lawatan ke Masjid-Masjid ikonik yang tersergam indah di bumi Kelantan. Subhanallah, tak tau macam mana nak gambarkan perasaan setiap kali menjejakkan kaki di dalam Masjid-Masjid ini. Antara masjid yang sempat kami lawati ialah Masjid Muhammadi Kota Bharu, Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Masjid Noor Aini Pasir Hor dan Masjid Razaleigh Gua Musang. Setiap Masjid ini mempunyai keunikan yang tersendiri.


Sumber : Kaki Travel


Negeri Kelantan juga terkenal dengan sistem pengajian Islam iaitu sekolah pondok untuk mereka yang ingin mendalami Al-Quran. Antara yang dikenali ialah Madrasah Ihya Ulumuddin, Pasir Puteh untuk melihat sendiri aktiviti anak-anak tahfiz di sana.



Selain itu kami juga berkesempatan melawat tempat bersejarah tokoh-tokoh ugamawan Kelantan seperti Suluk Tok Selehor dan juga Telaga Tok Kenali. Masa kat Suluk Tok Selehor tu kan, kakak dapat pengalaman masuk ke dalam lubang yang digali dalam kawasan tanah perkuburan dengan kedalaman mengikut liang lahad. satu pengalaman yang berharga buat kakak!



Kami juga dibawa melawat ke Muzium Islam Kelantan, Muzium Wau dan Rumah Tiang 12 untuk mengetahui serba sedikit mengenai peradaban Islam di negeri Kelantan dan budaya masyarakat disini. Juga lawatan ke mural yang terdapat di Laman Palestin dan Laman Budaya, Kota Bharu.



Dan antara yang paling menarik di Negeri Kelantan sepanjang bulan Ramadan ialah kepelbagaian makanan tradisonalnya. Masa kat sini, kakak baru kenal dan dapat merasa sendiri keunikan makanannya. Masa pegi bazar Ramadan kat perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan Pasar Siti Khadijah tu kan, rambang mata sangat. Rasa macam nak cuba semua juadah yang ada kat sini okay! Lepas tu dengan coleknya lagi, memang balik KL berat naik ye. Hehheheh.




Nanti kakak ceritakan lebih lanjut intipati program Ihya Ramadan Kelantan 2022 okay. Banyak lagi tempat pelancongan menarik Negeri Kelantan yang kakak nak kongsikan selepas ni. Semoga bertemu lagi di lain entri.

Tiada ulasan